
Program Perkhidmatan Pemuliaan (Pelupusan) Al-Quran dan Buku Agama Tanpa Bakar serta Program Pasar Percuma Putra @ Masjid UPM telah berjalan dengan jayanya pada 13 dan 14 Jun 2026 di Perkarangan Masjid UPM. Melalui program pemuliaan ini, naskhah Al-Quran dan buku agama yang rosak atau tidak lagi digunakan telah diuruskan dengan kaedah pelupusan mesra alam tanpa bakar, iaitu melalui proses yang mematuhi syarak bagi menjaga kesucian ayat-ayat suci Al-Quran. Program ini turut memberi peluang kepada warga kampus dan jemaah masjid untuk menyumbang serta mendapatkan barangan keperluan secara percuma dalam suasana saling membantu dan prihatin terhadap komuniti. Pusat Pengayaan dan Kemakmuran (CEP), UPM turut sama dalam program ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan amalan berkongsi rezeki dan membantu masyarakat yang memerlukan. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Indera Creative Enterprise (Kafeteria Fakulti Perubatan Veterinar) dan Ashima Setia Enterprise (Kafeteria Pusat Asasi Sains Universiti) yang sudi menyumbang hidangan buat para petugas dan pengunjung, sekali gus memeriahkan lagi suasana program sepanjang dua hari ia berlangsung. Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan mampu memberi manfaat dan membawa kegembiraan kepada mereka yang menerima.
Date of Input: 23/06/2026 |
Updated: 23/06/2026 | syaminfikri
MEDIA SHARING